Saturday 7 February 2015

KEMPEN SAYANGI GELANG PATAH UNTUK TAMBAH PENGUNDI MELAYU


 
SUARA majoriti Melayu perlu ditambah di Gelang Patah bagi mengembalikan kuasa kerusi parlimen yang terlepas ke tangan YB Lim Kit Siang (DAP)pada Pilihanraya Umum Ke-13 tahun lalu.
    Melayu harus bangkit, bermuhasabah dan seterusnya melakukan sesuatu agar kekalahan kali ini tidak akan berulang lagi pada pilihanraya akan datang.
Dan, salah satu langkah penting yang wajib dilaksanakan ialah menambah sebanyak mungkin daftar pemilih orang Melayu sekali gus mengimbangi pengaruh majoriti bangsa Cina sebelum ini.
    Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO Bahagian Gelang Patah yang diterajui oleh Ir. Md Nasir Hashim sendiri telah bertindak cepat dengan melancarkan Kempen Sayangi Gelang Patah, baru-baru ini.
    Pelancaran kempen itu dilakukan serentak di enam kawasan zon tepat pada jam 9.00 malam dan dijalankan sepanjang Februari hingga Jun 2014.
    Ir. Md Nasir yang juga merangkap Timbalan Ketua Bahagian berkata, pihaknya telah menjemput semua ketua cawangan dan ahli parti bagi menjayakan kempen ini secara menyeluruh dari segenap sudut.
    Pada malam tersebut, beliau telah menjadi perasmi di Balai Aktiviti UMNO Jalan Perubatan yang menjadi tuan rumahh untuk Kawasan Zon 4.
    “Kami mensasarkan bilangan yang besar mampu dibawa oleh setiap cawangan untuk mendaftarkan pengundi baru dari kalangan orang Melayu. Selain belia yang menjadi kumpulan sasaran utama, rakyat yang lain juga perlu ditanya dan didaftarkan sebagai pemilih,” katanya.
MENDEKATI PENGUNDI MUDA
BIRO Keahlian Dan Daftar Pemilih juga secara langsung turun ke padang mendekati kumpulan remaja dan pengundi muda melalui pembagai aktiviti
dan pertemuan dalam kelompok yang kecil. Setakat ini, usaha itu telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan.
    Jelas Ir. Md Nasir, apabila kita mendekati kumpulan ini, pihaknya juga mendapat sokongan daripada Biro Penerangan dan Biro Pendidikan, Latihan Dan Mahasiswa yang sama-sama membantu memberi motivasi kepada kumpulan sasar mengenai kepentingan mendaftar pemilih dan seterusnya mengundi calon Barisan Nasional.
    Selepas setiap pertemuan yang dibuat, nyata golongan muda ini amat memerlukan bimbingan untuk menentukan hala hidup selepas persekolahan.
    Aliran zaman yang berubah menyebabkan mereka terlalu banyak menerima maklumat dan propaganda yang kurang tepat dari internet. Itu adalah antara sebab mereka terikut-ikut rentak pembangkang yang keras tanpa menyedari mereka sebenarnya tertipu dengan pembohongan yang menghalalkan cara.

No comments:

Post a Comment