Tuesday 10 February 2015

KHABAR GEMBIRA SELEPAS 2 DEKAD

Menteri Besar Johor Serah Hak Milik Tanah Kepada 261 Penduduk Kampung Wawasan Gelang Patah


PENANTIAN dua dekad tidak terasa lama bagi 261 penduduk asal di Kampung Wawasan Gelang Patah apabila Notis 5A sudah diterima daripada Menteri Besar Johor sendiri sebagai tanda perjuangan mereka selama ini berbaloi.
   Ketua Umno Cawangannya, Mohammad Roslan Abu Bakar berkata pihaknya bersyukur dengan penyerahan hak milik tanah itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Kita tidak melupakan jasa pemimpin lama yang berjuang dari peringkat awal dan berkesinambungan hingga kepimpinan yang ada hari ini.
   “Bagi pihak penduduk, saya menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak Umno Bahagian Gelang Patah, pihak yang terlibat di agensi berkaitan serta jasa baik dan keprihatinan dari pihak Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.
   Beliau bercakap selepas Majlis Penyerahan Notis 5A kepada 261 penduduk Kampung Wawasan Gelang Patah pada 17 Mac yang lalu.
   Sementara itu, Datuk Seri Mohd Khaled semasa berucap dalam majlis penyerahan itu berkata pihaknya menyedari harapan besar penduduk selama ini.    
   Katanya, usaha yang bersungguh-sungguh dari pihak Umno Bahagian Gelang Patah juga harus dihargai kerana banyak membantu dalam urusan penyerahan hak milik tanah ini.
     Katanya lagi, kerajaan negeri akan menambah bilangan tanah rizab Melayu terutamanya di kawasan bandar untuk mengimbangi populasi kaum dan mengelakkan orang Melayu terus tercicir.
    “Kita akan umumkan bila tiba masanya termasuk keluasan-keluasan tanah itu. Apabila ada rizab Melayu, maka, kehidupan orang Melayu akan terjamin kerana Melayu juga perlu tinggal di bandar,” katanya.
    Datuk Seri Mohd Khaled berkata penambahan rizab berkenaan perlu dilakukan demi menjamin kelangsungan masyarakat majmuk di negeri ini sekaligus mengeratkan perpaduan.
    Mengenai pemberian Notis 5A yang memberi hak milik kepada setinggan ke atas tanah yang mereka duduki, beliau berkata ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam mencapai setinggan sifar dalam tempoh lima tahun ini.


No comments:

Post a Comment